PUTRAJAYA, 25 Julai - Pasukan MRSM Balik Pulau yang melakar sejarah tersendiri mara ke pentas akhir Super Schools Rugby (SSR) 2025 buat kali pertama, kini bersedia mencipta satu lagi sejarah dengan merangkul gelaran juara.
Dikenali sebagai BP Cougars, pasukan kendalian ketua jurulatih, Muhd Izzuwan Ahmad Sukri, pada 19 Julai lalu menumpaskan pasukan SEMASHUR yang juga juara bertahan dalam aksi separuh akhir.
BP Cougars mencipta sejarah tersendiri selepas pertama kali melangkah ke perlawanan akhir SSR - Foto FB Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Kemenangan dengan keputusan 20-19, menyaksikan pasukan dari utara tanah air itu layak ke peringkat akhir buat pertama kali dalam sejarah sejak penyertaan mereka dalam SSR.
BP Cougars bakal menentang juara dua kali, Victoria Institution (VI) dalam aksi kemuncak kategori bawah 17 tahun yang dijadual berlangsung di Taman Ekuestrian, di sini Ahad ini.
Muhd Izzuwan menyifatkan pencapaian kali ini sebagai satu detik istimewa bukan sahaja untuk pasukan, malah bagi seluruh komuniti MRSM.
“Kami buat persiapan seperti biasa selepas perlawanan separuh akhir menentang SEMASHUR.
"Pemain diberi ruang untuk pulih dan kami teruskan latihan petang seperti biasa walaupun ramai yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
BP Cougars akan berentap dengan VI di pentas akhir Ahad ini
Menurutnya, pertemuan dengan VI dijangka menjadi perlawanan taktikal, mengambil kira kekuatan fizikal dan kemahiran dimiliki pihak lawan.
Sementara itu, kapten pasukan, Noerman Radzikin Suhaimi berharap pentas akhir ini menjadi penutup terbaik sebelum mereka menamatkan sesi persekolahan.
Dalam pada itu, kapten pasukan VI, Izz Dhani Mohd Firdaus berkata, pasukannya tidak meletakkan sasaran tinggi pada awal kejohanan, namun bersyukur dapat melangkah ke final.
“Kami anggap diri kami bukan pasukan pilihan dan sasaran kami hanya untuk melepasi pencapaian tahun lepas yang terkandas di suku akhir.
"Dapat sampai ke perlawanan akhir ini adalah satu bonus buat kami,” katanya.
Kejohanan edisi ke-10 ini menawarkan hadiah wang tunai RM15,000 buat juara, manakala naib juara pula akan membawa pulang RM7,000.