fb fb fb fb fb

Bonnie julang emas Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para di Dubai

Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin (tengah) merangkul emas di Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para 2024 di Dubai, semalam.

DUBAI, 2 Mac- Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila merangkul emas di Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (U-A-E), semalam.

Juara Paralimpik Tokyo 2020 itu meraih pingat emas bagi kategori 72 kilogram (kg) menerusi angkatan terbaiknya seberat 218kg pada percubaan ketiga.

Secara keseluruhan, atlet kelahiran Sarawak berusia 24 tahun itu berjaya membuat angkatan seberat 644 kg dengan angkatan pertama, 210kg, diikuti 216kg pada percubaan keduanya.

Atlet Great Britain, Mark Swan meraih pingat perak dengan angkatan 213kg, manakala pingat gangsa dimenangi Hu Peng dari China dengan angkatan 211kg.

Ini merupakan pingat emas ketiga Bonnie dalam kejohanan berprestij itu selepas memenanginya pada 2021 di Dubai dan Bangkok, Thailand.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI