KUCHING, 22 September – Jaguh angkat berat negara, Bonnie Bunyau Gustin, menerima durian runtuh sebanyak RM500,000 daripada kerajaan Sarawak atas kejayaannya merangkul pingat emas dalam Paralimpik Paris baru-baru ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ganjaran tersebut diberikan sebagai penghargaan terhadap jasa Bonnie yang mengharumkan nama Malaysia di pentas sukan antarabangsa.
"Oleh itu, saya ingin mengumumkan hadiah RM500,000 kepada Bonnie atas kejayaannya. Kita harap ini akan menjadi dorongan kepada atlet muda para Sukma untuk berlatih lebih giat dan mencapai kejayaan pada masa hadapan," katanya dalam ucapan di Majlis Perasmian Para Sukma Sarawak 2024 di Stadium Tertutup Petrajaya, di sini hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memberi perhatian serius dalam pembangunan sukan, terutamanya dalam menyediakan prasarana yang terbaik.
"Penganjuran Sukma Sarawak pada Ogos lepas menunjukkan komitmen kerajaan negeri, di mana prasarana sukan ditingkatkan sebaik mungkin bagi memastikan pertandingan dapat dijalankan dalam suasana yang kondusif," tambahnya lagi.
Bonnie Bunyau Gustin membuktikan kejaguhannya apabila mempertahankan pingat emas dalam acara powerlifting kategori 72kg dan memecahkan rekod dunia pada aksi Palimpik Paris 2024.