HANGZHOU, 25 Oktober- Kontijen negara Bonnie Bunyau Gustin berjaya merangkul pingat emas ke-5 melalui acara angkat berat kategori 72 kilogram dalam saingan Sukan Para Asia (APG) 2022.
Saingan yang berlangsung di Pusat Sukan Xioshan itu menyaksikan atlet angkat berat para negara menampilkan aksi cemerlang.
Menurut atlet berusia 24 tahun itu, kejayaan hari ini merupakan emas sulung di temasya berkenaan selain memastikan lagu Negaraku berkumandang.
"Saya berjaya mencatatkan rekod untuk Sukan Para Asia (APG) 2022 yang pernah dicatatkan oleh atlet Iran Roohallah Rostami dengan angkatan seberat 229 kilogram, saya pecahkan rekod itu dengan 230 kilogram. Saya sangat berbangga dengan pencapaian itu," katanya ketika ditemui pemberita RTM.
Bagi pingat perak dimenangi wakil tuan rumah Hu Peng dengan angkatan seberat 208kg dan gangsa menjadi milik wakil Uzbekistan Jamilov Bekzod dengan angkatan 204kg.