KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin berharap mampu pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu kiri pada hujung tahun ini.
Atlet berusia 25 tahun itu cedera semasa bertanding di temasya Paralimpik Paris yang menyaksikan beliau mempertahankan pingat emas dalam kategori lelaki 72 kilogram(kg).
"Kecederaan saya semakin pulih, saya ada lakukan rehab dan fisio dan ketika ini hanya lakukan latihan ringan sebelum bersedia untuk kejohanan tahun hadapan.
"Saya rasa tahap pemulihan kini dalam 70 hingga 80 peratus," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) di Ibu negara.
Bonnie bergelar sebagai penerima tertinggi pada majlis tersebut dengan wang hadiah sebanyak RM1.02 juta.
Ia susulan pencapaian cemerlang di Paralimpik Paris yang berlangsung dari 29 Ogos hingga 8 September lalu.
Atlet kelahiran Sarawak itu turut memecahkan rekod dunia acara 72kg dengan angkatan keseluruhan seberat 232kg.
Dalam pada itu, Bonnie menambah, fokus utamanya selepas ini adalah bagi mempersiapkan diri menghadapi Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2025 yang dijadualkan berlangsung di Kaherah, Mesir dari 11 hingga 18 Oktober 2025.