KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bekerjasama menganjurkan Kemahiran Latihan Asas Sukan Sepak Takraw (KLAS Sepak Takraw) sebagai inisiatif melahirkan lebih ramai bakat baharu.
Langkah itu juga bertujuan memastikan Malaysia tidak ketandusan barisan pemain profesional yang mampu menyerlah di temasya besar pada masa hadapan.
Pengarah program, Suhaimi Sun berkata, fokus utama KLAS Sepak Takraw adalah untuk memberi pendedahan selain memperkenalkan sukan itu kepada kanak-kanak berusia 9 hingga 15 tahun.
"Ini adalah yang patut kita buat di semua peringkat terutamanya akar umbi dengan melatih mereka bagaimana nak menjadi seorang tekong dan 'killer' yang baik.
"Semua pemain mesti diberikan latihan dari segi cara memanaskan badan dan latihan di gelanggang" katanya kepada pemberita.
Program disertai seramai 108 pelajar dan turut dibantu oleh 17 bekas pemain sepak takraw negara.