fb fb fb fb fb

Bola Sepak SUKMA 2024: Sarawak ikat W.Persekutuan 1-1

Pasukan Sarawak meraihkan jaringan menerusi sepakan Mohammad Faris Mohd Faidillah

MUKAH, 15 Ogos- Pasukan tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, Sarawak berkongsi satu mata dengan Wilayah Persekutuan dalam aksi perlawanan bola sepak bagi Kumpulan D yang berlangsung di Stadium Mukah di sini semalam.

Dalam aksi itu, Wilayah Persekutuan membuka jaringan pada minit ke 28 menerusi sepakan Muhammad Shahrul Aikal Mohamad Nasir.

Bagaimanapun kedudukan tersebut tidak kekal lama apabila Sarawak menyamakan mata pada minit ke-59 hasil jaringan Mohammad Faris Mohd Faidillah.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sarawak, Awangku Shahbuddin Pengeran Abu Bakar mengakui formasi 3-4-3 kurang menjadi, sekali gus memaksa pasukannya menukar taktikal dengan beberapa pertukaran pemain pada separuh masa pertama.

"Kami tukar corak permainan kepada hantaran jauh. Aksi Wilayah Persekutuan di posisi tengah lebih baik, secara teknikal mereka lebih baik. Kita tidak dapat mengatasi mereka, jadi kita guna hantaran jauh untuk tembusi pertahanan mereka," katanya kepada pemberita.

Ketika ini Sarawak berada di kedudukan ketiga Kumpulan D dengan satu mata iaitu kurang tiga mata daripada Wilayah Persekutuan yang menghuni tempat kedua.

Pendahulu kedudukan menjadi milik Perak yang telah mengumpul enam mata selepas dua perlawanan berlangsung.

SITI AISHAH MD ISA