fb fb fb fb fb

Bola sepak Sukan SEA: Jaringan masa tambahan Vietnam ranapkan impian Malaysia ke final

(FOTO FB FAMALAYSIA OFFICIAL)

PHU THO, 20 Mei - Perjalanan skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan di temasya Sukan SEA ke-31 terhenti di peringkat separuh akhir selepas tewas 0-1 kepada juara bertahan Vietnam pada aksi penuh dramatik, di sini malam tadi.

Kekalahan tersebut menyaksikan pasukan muda negara terpaksa menunggu lebih lama untuk menamatkan kemarau 11 tahun merangkul pingat emas temasya sukan dwitahunan itu selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2011 di Indonesia.

Pada perlawanan di Stadium Viet Tri di sini yang berlanjutan hingga masa tambahan selepas 90 minit permainan sebenar itu, jaringan kemenangan Vietnam hadir pada minit ke-111 menerusi penyerang Nguyen Tien Linh sekali gus menceriakan kira-kira 18,000 penyokong tuan rumah yang berada di stadium.

Skuad kendalian jurulatih ‘bengis’ dari Korea Selatan Park Hang Seo itu membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila lebih garang menguasai 45 minit pertama yang menyaksikan Tien Linh hampir meletakkan Vietnam di depan menerusi sepakan leret pada minit ke-27.

Namun, percubaannya hanya melintasi gawang negara tatkala penjaga gol Muhammad Azri Ab Ghani sudah pun tertewas.

Gawang Malaysia hampir dibolosi pada minit ke- 42 namun Muhammad Azri bertindak cemerlang dengan melayangkan badan bagi menepis percubaan Tien Linh memberikan kelegaan kepada skuad bimbingan Brad Maloney untuk menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 0-0.

Bersambung babak kedua, Vietnam mengekalkan corak serangan bertali arus dalam keghairahan memburu gol yang memaksa benteng pertahanan skuad kebangsaan bekerja keras mengekang asakan bertubi-tubi.


(Aksi perlawanan bola sepak separuh akhir Sukan SEA di antara Vietnam menentang Malaysia/Foto FB FAMalaysiaOfficial)

Beberapa kecederaan menghimpit kedua-dua pasukan dengan Vietnam kehilangan pemain pertahanan Le Van Xuan memasuki 15 minit permainan terakhir susulan pelanggaran bersama penyerang gantian Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Suasana perlawanan menjadi tegang apabila Luqman Hakim Shamsudin dijatuhkan berhampiran kotak penalti sebelum ia mencetuskan agenda tolak menolak antara kedua-dua pemain memaksa pengadil melayangkan kad kuning masing-masing kepada Muhammad Hadi dan Vu Tien Long.

Peluang terbaik Malaysia untuk menamatkan aksi dalam tempoh 90 minit hadir pada penghujung perlawanan, namun pemain pertahanan Muhammad Safwan Mazlan yang tidak dikawal gagal menanduk tepat bola sepakan percuma rakan sepasukan.

Perlawanan diteruskan memasuki masa tambahan dan Vietnam yang lebih bertenaga dalam melancarkan serangan terus memberikan tekanan sebelum sekali lagi terlepas peluang meledak jaringan pada minit ke-98.

Pemain tengah, Bui Hoang Viet Anh terlepas peluang tersebut selepas tampanan lemahnya gagal menepati sasaran tatkala gawang negara sudah terbuka menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati menamatkan babak pertama masa tambahan tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Hang Seo itu tidak menunjukkan tanda-tanda memperlahankan permainan dan barisan pemain negara yang semakin keletihan akhirnya dihukum menerusi sepakan penjuru apabila membenarkan Tien Linh menanduk masuk jaringan kemenangan.

Pada final Ahad ini yang dijadual berlangsung di Stadium My Dinh di Hanoi, Vietnam akan membuat perhitungan merebut ibu segala pingat menentang Thailand yang merakam kemenangan tipis 1-0 ke atas Indonesia pada satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Thien Truong di wilayah Nam Dinh.

Manakala Malaysia akan bertemu Indonesia dalam aksi penentuan pingat gangsa juga di venue sama pada hari sama. - BERNAMA

Media Baharu