RIYADH, 2 Februari - Kehadiran Lionel Messi ketika perlawanan berbaki 10 minit gagal membantu pasukannya, Inter Miami tewas 0-6 kepada Al-Nassr pada perlawanan yang berlangsung pada Khamis.
Perlawanan kedua-dua pasukan tersebut disifatkan sebagai peluang terakhir bagi Messi dan Ronaldo berdepan sesama sendiri di atas padang yang merupakan sebahagian daripada perlawanan persahabatan yang turut membabitkan bintang Al-Hilal, Neymar.
Bintang dan ketua pasukan Argentina, Lionel Messi yang mengalami kecederaan hamstring memulakan permainan di bangku simpanan, sementara Ronaldo tidak diturunkan susulan mengalami kecederaan otot sekali gus menghampakan para peminat yang berharap bagi melihat kelibat kedua-dua bintang bola sepak dunia berkenaan beraksi.
Pada perlawanan tersebut, Inter Miami menurunkan beberapa bekas pemain Barcelona seperti Luis Suarez, Jordi Alba dan Sergio Busquets bagi memperkuatkan pasukan.
Namun, Inter Miami ketinggalan 3-0 dalam masa 12 minit dan tidak menghadirkan sebarang ancaman berbahaya sepanjang perlawanan.
Isnin lalu, Messi, 36 tahun beraksi ketika pasukannya tewas pada perlawanan persahabatan menentang Al-Hilal 4-3.
Pada perlawanan tersebut, Messi berjaya menyumbangkan satu gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-54 sebelum dikeluarkan dua minit sebelum permainan tamat.-REUTERS