fb fb fb fb fb

Piala Asia: Iran dan Jepun patut bertemu di final- Jurulatih Iran

Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei

DOHA, 2 Februari - Iran dan Jepun sepatutnya bertemu di final Piala Asia dan bukannya di suku akhir kejohanan, kata Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei pada Jumaat.

Jelas Amir, pasukan Samurai Biru itu kini mempamerkan peningkatan pada masa yang tepat selepas tewas di peringkat kumpulan kepada Iraq.

Pasukan Iran pula berjaya menjuarai kumpulan dengan memenangi kesemua perlawanan. Jepun pula menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua di belakang Iraq.

Namun skuad bimbingan Hajimie Moriyasu mencatatkan kemenangan mudah pada saingan 16 terbaik apabila menewaskan Bahrain 3-1.

Iran pula dilihat berhempas-pulas pada pusingan sama apabila terpaksa bergantung kepada penentuan penalti ketika menyingkirkan Syria.

"Saya fikir Iran dan Jepun sepatutnya bermain menentang satu sama lain pada aksi final.

"Namun, kami bermain menentang Jepun di suku akhir", kata Amir kepada pemberita menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada Sabtu.

"Kualiti persembahan yang dipamerkan Jepun pada pusingan 16 terbaik adalah jauh lebih baik berbanding peringkat kumpulan", tambah Amir.

Amir turut mengkritik jadual pertandingan yang disifatkan padat dan menyebabkan pasukannya kesuntukan masa bagi bagi melakukan persediaan selepas mereka terpaksa bermain dalam tambahan masa menentang Syria.

"Kami tidak mempunyai masa yang cukup seperti Jepun.

"Kami sepatutnya menamatkan perlawanan menentang Syria pada minit ke-70.

"Namun, kami gagal mengambil peluang dan kami mengalami nasib buruk", kata Amir.

Sementara itu, pengendali Jepun, Hajimie Moriyasu berkata pertembungan kedua-dua pasukan kali ini dianggap sebagai 'pertembungan terhebat' antara dua pasukan teratas Asia.

"Ia bakal menjadi perlawanan paling sukar.

"Dengan jadual perlawanan yang mencabar dan kami perlu beraksi secara profesional", kata Moriyasu.

"Iran juga mempunyai bilangan hari berehat yang sama seperti Jepun. Mungkin, Jepun mempunyai kelebihan dari segi minit perlawanan", tambah Moriyasu.

Iran dijangka bakal kehilangan penjaring terbanyak pasukan, Mehdi Taremi yang digantung selepas menerima kad merah pada pertemuan menentang Syria tempoh hari.

"Kami sedar Mehdi digantung perlawanan. Namun Iran masih mempunyai Sardar Azmoun sebagai pengganti.

"Pertahanan kami perlu memberi tumpuan 100 peratus, namun, saya tidak akan menggubah taktikal permainan yang diterapkan sebelum ini", kata Moriyasu.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD