MIAMI, 8 Disember - Birdie yang dilakukan bekas juara Masters, Hideki Matsuyama dalam aksi playoff berjaya membantunya meraih gelaran pada kejohanan Hero World Challenge di Bahamas.
Lebih manis ia juga adalah gelaran kedua diraih pemain dari Jepun itu pada kejohanan anjuran Tiger Woods yang menyaksikannya turut meraih kemenangan sewaktu edisi 2016.
Terdahulu dalam saingan pusingan keempat menyaksikan Matsuyama dan Alex Noren dari Sweden terikat dengan catatan keseluruhan 22 di bawah par.
Situasi tersebut memaksa pemenang ditentukan menerusi aksi playoff.
Saingan playoff di lubang 18 dengan par 4 menyaksikan Matsuyama berjaya melakukan birdie sekali gus menewaskan lawannya yang hanya melakukan par.
Menurut Matsuyama, aksi konsistenya membantu dia untuk melakukan pukulan yang baik ketika aksi playoff tersebut.
"Sewaktu saingan awal di lubang 18 saya tersasar sedikit ke kanan dan saya telah melakukan sedikit perubahan ke arah yang sepatutnya ketika aksi di lubang sama ketika playoff," kata Matsuyama.
Kedudukan ketiga kejohanan menjadi milik pemain dari Austria, Sepp Straka yang melakukan keseluruhan 21 di bawah par.
Sementara dua pemain dari Amerika Syarikat, J. J. Spaun dan Scottie Scheffler berkongsi kedudukan keempat dengan catatan 20 di bawah par. - AFP