fb fb fb fb fb

Jeffery Guan berdepan risiko hilang sebahagian penglihatan, mata terkena bola

Pemain golf muda Australia, Jeffrey Guan / FOTO REUTERS

SYDNEY, 23 September- Jeffrey Guan, pemain golf Australia sedang meningkat naik yang membuat penampilan sulung dalam US PGA Tour bulan ini, kini sedang berjuang untuk menyelamatkan penglihatan di salah satu matanya selepas terkena bola semasa acara pro-am, kata pegawai pada Isnin.

Guan, 20, terkena bola di wajahnya dalam satu kejohanan di selatan Sydney dan diterbangkan ke hospital untuk menjalani pembedahan segera, dengan jurulatihnya memberitahu pemberita bahawa terdapat "kebimbangan dia mungkin kehilangan sebahagian penglihatan".

"Bola tersebut terkena tepat di bawah mata Jeff," kata Australian PGA dalam satu kenyataan sambil menambah pemain berkenaan menerima rawatan di tempat kejadian, sebelum dipindahkan ke hospital untuk rawatan selanjutnya.

"Dia kemudian diterbangkan ke Canberra untuk dinilai oleh pakar mata."

Guan baru-baru ini menandatangani kontrak dengan syarikat pengurusan sama yang mewakili pemenang utama Jon Rahm dan Phil Mickelson, serta menerima jemputan penaja ke Kejohanan PGA Tour Procore di California bulan ini.

Dia mencatatkan skor 69 dan 75, hanya terlepas peluang untuk mara ke pusingan seterusnya.

"Ia benar-benar mengerikan," kata jurulatihnya, Paul Davis, kepada Australian Golf Digest.

"Ia berita paling buruk selepas minggu yang menakjubkan di California."- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE