KUCHING, 23 September - Peruntukan khusus untuk program pembangunan sukan Orang Kurang Upaya, diharap dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2025, yang akan dibentang Oktober ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata,perkara tersebut telah disuarakan kepada Kementerian Kewangan.
Ia merupakan perancangan strategik kementeriannya tahun hadapan, untuk membangun serta melahirkan lebih ramai atlet PARA.
Hannah juga menyeru setiap Jabatan Belia dan Sukan Negeri serta Majlis Sukan Negeri, memperbanyakkan lagi program pencarian bakat, terutama dalam kalangan atlet Para wanita.
"Sudah tidak disangkal lagi bahawa Para SUKMA terbukti berkesan dalam melahirkan atlet hebat. Daripada 30 atlet TeamMAS yang ke Paralimpik Paris 2024 baru-baru ini, 19 atlet adalah yang lahir daripada Para SUKMA yang lalu." katanya.
Beliau berucap sempena perasmian Para SUKMA 2024 di Stadium Perpaduan di Kuching.
Majlis dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Sebanyak 328 acara meliputi 10 jenis sukan - olahraga, renang, powerlifting, catur, tenpin boling, boling padang, ping pong, memanah, badminton dan boccia dipertandingkan pada edisi kali ini.