BUENOS AIRES, 26 Julai – Pemain tengah Argentina, Rodrigo de Paul sah meninggalkan Atletico Madrid untuk menyertai kelab Major League Soccer (MLS), Inter Miami, menurut pengumuman rasmi kelab Sepanyol itu pada Jumaat.
De Paul, 31, bakal bergandingan semula dengan rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan, Lionel Messi, selepas bersama-sama memenangi dua gelaran Copa America, satu kejuaraan Finalissima serta Piala Dunia 2022.
Sepanjang empat musim di bawah kendalian Diego Simeone di Atletico, De Paul melakukan hampir 200 penampilan, namun tidak berjaya merangkul sebarang kejuaraan.
Beliau memulakan karier profesional bersama Racing Club di Argentina pada 2012, sebelum berhijrah ke Eropah mewakili Valencia dan kemudian Udinese di Serie A. - REUTERS