fb fb fb fb fb

Bijak tangani situasi, Pearly-Thinaah pamer kematangan – Rosman

Ketua jurulatih beregu wanita Rosman Razak / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Mei-Isu kontrak yang masih belum dimuktamadkan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membabitkan beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah tidak sedikit pun menjejaskan prestasi mereka pada Terbuka Thailand dan Masters Malaysia 2025.

Menurut ketua jurulatih beregu wanita Rosman Razak, situasi berkenaan mempamerkan kematangan beregu di ranking keempat dunia itu dalam mengendalikan tekanan luar, pada masa sama menumpukan kepada latihan serta prestasi di kejohanan yang disertai mereka.

“Paling utama, mereka dapat bezakan masalah luaran dengan latihan dan prestasi. Mereka berlatih bersungguh-sungguh dan ingin menang. Itu yang penting dan keinginan mereka untuk menang itu tidak pernah surut,” katanya kepada pemberita di Axiata Arena Bukit Jalil, semalam.

Rosman berkata beliau berpuas hati dengan semangat dipamerkan anak didiknya itu walaupun tewas kepada gandingan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 16-21, 21-15, 14-21 pada separuh akhir Masters Malaysia 2025, semalam.

Beliau berkata wakil China itu mempunyai kelebihan bermain di jaring, iaitu aspek yang akan diberikan tumpuan dalam latihan Pearly-Thinaah kelak.

Sementara itu, Rosman berkata komitmen tinggi dipamerkan juara Terbuka Thailand 2025 itu menjadi penanda aras buat beregu pelapis negara, dengan usaha kini tertumpu untuk merapatkan jurang prestasi antara pasangan utama dan gandingan lain di bawah program kebangsaan.

Pearly-Thinaah seterusnya dijadualkan beraksi di Terbuka Singapura 2025 pada 27 Mei hingga 1 Jun dan dijadualkan memulakan kempen pusingan pertama berdepan Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan dari Hong Kong.-BERNAMA

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD