INDONESIA, 5 Jun - Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, meneruskan aksi cemerlang di pentas antarabangsa apabila berjaya melangkah ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2025.
Pasangan di ranking keempat dunia itu tidak berdepan masalah menundukkan gandingan dari Denmark, Mads Vestergaard-Christine Busch, dalam aksi pusingan kedua hari ini.
Perlawanan yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, menyaksikan Tang Jie-Ee Wei beraksi garang dengan mencatat kemenangan mudah 21-9 pada set pertama, sebelum mengekalkan dominasi untuk menamatkan set kedua dengan mata 21-12, hanya dalam masa kurang 30 minit.
Mereka bakal berdepan cabaran lebih getir apabila dijadualkan bertemu pasangan pilihan dari Denmark, Jesper Toft-Amalie Magelund, yang kini menghuni ranking ke-8 dunia dan juga juara Eropah.
Pasangan itu turut menunjukkan prestasi konsisten apabila mengatasi cabaran sengit beregu dari Jepun di pusingan sebelumnya.
Sementara itu, satu lagi kejayaan turut diraih dalam acara beregu wanita apabila gandingan utama negara, Pearly Tan-M Thinaah, berjaya menempah tempat ke suku akhir selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti, dalam pertarungan tiga set yang mendebarkan.
Tewas 18-21 pada set pertama, Pearly-Thinaah bangkit memperkemas corak permainan untuk menang 21-16 di set kedua, sebelum menutup aksi dengan keputusan 21-17 pada set penentuan selepas 59 minit permainan.