MADRID, 27 Januari- Real Madrid menang 3-1 menentang seteru, Atletico Madrid dalam kempen Piala Copa del Rey sekali gus mara ke pusingan separuh akhir.
Jaringan masa tambahan Karim Benzema dan Vinicius Junior menambah derita pasukan lawan.
Tirai jaringan dibuka seawal minit ke-19 menerusi penyerang Alvaro Morata menyudahkan hantaran lintang daripada Koke.
Atletico yang selesa permainan hampir 60 minit bagaimanapun terpaksa akur dengan jaringan penyamaan oleh 'ubi' muda Real, Rodrygo pada minit ke-78.
Kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 sehingga minit ke-90 dan memaksa perlawanan diteruskan kepada masa tambahan.
Selain itu, situasi pedih melanda pasukan Atletico selepas pengadil melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan, Stefan Savic pada babak penting.
(Pemain pertahanan Atletico Madrid, Stefan Savic dilayangkan kad merah oleh pengadil/AFP)
Insiden itu menyaksikan Atletico bermain dengan 10 pemain dan membuka ruang kepada Real.
Kapten pasukan Real, Karim Benzema menyempurnakan hantaran lintang daripada Marco Asensio.
“Hari ini kami menghadapi perlawanan yang sangat sukar tetapi dengan watak dan pemain yang kami ada, kami dapat mengubahnya.
"Penderitaan tidak baik, kami perlu menjaringkan gol lebih awal," kata Benzema kepada Teledeporte.
Tekanan dan intensiti permainan dirasai penyokong di Stadium Santiago Bernabéu.
Seterusnya, giliran Vinicius Junior menghukum anak buah kendalian Diego Simeone untuk menghasilkan jaringan ketiga, menepis kutukan penyokong yang bertindak menyerang warna kulit dan perkauman kepadanya.
"Vinicius benar-benar mahu bermain dan dia mempunyai permainan yang sangat bagus.
"Saya fikir gol itu adalah ganjarannya untuk kerja hebatnya. Apa yang berlaku amat dikesali," kata jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti pada sidang akhbar.
Real Madrid pernah menjadi empat pasukan terakhir pada saingan Copa del Rey pada 2019.
Kali ini, mencipta rekod sama dan akan berdepan antara tiga kelab lain iaitu Barcelona, Athletic Club dan Osasuna.-AFP