(Penjaga gol Ivo Grbic mengambil bahagian dalam sesi latihan di Doha pada 11
Disember 2022, menjelang perlawanan separuh akhir bola sepak Piala Dunia
Qatar 2022 menentang Argentina/FOTO IHSAN FIFA)
DOHA, 12 Disember- Croatia tidak hanya menyasarkan untuk merantai bintang Argentina, Lionel Messi, sebaliknya mwmfokus untuk mengekang seluruh pasukan lawan itu pada aksi separuh akhir Piala Dunia, Rabu ini.
Croatia memburu tempat ke perlawanan akhir Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut selepas tewas kepada Perancis pada 2018.
Croatia menyingkirkan pasukan pilihan Brazil di suku akhir selepas bangkit daripada ketinggalan dengan jaringan penyamaan pada lewat masa tambahan sebelum memenangi penentuan sepakan penalti.
Prnyerang Croatia, Bruno Petkovic berkata, pasukannya tidak hanya memfokus keada seorang pemain sahaja, dan sasaran mereka lebih menyeluruh.
"Kami tidak mempunyai perancangan khusus untuk menyekat Messi dan kebiasaannya kami tidak fokus kepada seseorang pemain sebaliknya keseluruhan pasukan lawan".
"Kami akan menyekat mereka sebagai satu pasukan dan bukannya kawalan secara individu.
"Argentina bukan hanya sekadar Messi, mereka memiliki ramai pemain hebat. Kami perlu menghalang satu pasukan Argentina," katanya pada sidang media semalam.
Messi yang memenangi tujuh kali Ballon D'Or setakat ini menjadi tunggak Argentina.
Pasukan itu turut mara ke separuh akhir melalui penentuan sepakan penalti selepas mendahului dua gol menentang Belanda pada aksi suku akhir.
(Pemain tengah Croatia, Luka Modric (tengah) mengambil bahagian dalam sesi latihan di Doha pada
11 Disember 2022, menjelang perlawanan separuh akhir bola sepak Piala Dunia Qatar
2022 menentang Argentina/FOTO IHSAN FIFA)
Tanpa pemain yang digantung dan tidak diganggu kecederaan susulan mana-mana pemain selain kehadiran semula pemain pertahanan Borna Sosa, Croatia yang dikendalikan Zlatko Dalic pasti sudah bersedia turun padang dengan lebih yakin.
Barisan tengah Croatia diketuai kapten Luka Modric, dengan Mateo Kovacic dan Marcelo Brozovic akan terus menjadi kunci mengawal rentak, seperti dilakukan ketika menentang Brazil, diampu pertahanan Josip Juranovic.
"Mateo, Luka dan Marcelo adalah barisan tengah terbaik Croatia dalam sejarah. Saya fikir ia tidak dapat diulangi. Apabila anda menghantar bola kepada mereka, ia lebih selamat berbanding menyimpan wang di dalam bank," kata pemain pertahanan itu.
Mateo, Luka dan Marcelo adalah barisan tengah terbaik Croatia dalam sejarah.
Petkovic selaku pemain gantian menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-117 ketika menentang Brazil sekali gus memaksa perlawanan ditentukan menerusi penentuan penalti, dengan Croatia kini memenangi semua empat penentuan penalti dalam Piala Dunia.
"Saya fikir ramai pemain bukan profesional boleh menyempurnakan sepakan penalti.
"Perbezaannya bagaimana kekuatan mental anda. Terdapat tekanan kuat tetapi ia dapat membantu apabila anda memiliki penjaga gol bertaraf dunia." kata Petkovic.
Penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic menyelamatkan satu sepakan penalti berdepan Brazil selain menepis tiga penalti Jepun pada saingan 16 terbaik. - AFP