fb fb fb fb fb

Bekas Pengurus England, Terry Venables meninggal dunia

Gambar mendiang Terry Venables dimainkan di skrin layar gergasi stadium sejurus sebelum perlawanan Tottenham Hotspur menentang Aston Villa di London/FOTO AFP

LONDON, 27 November- Bekas pengurus bola sepak kebangsaan England dan Tottenham Hotspur, Terry Venables meninggal dunia pada usia 80 tahun setelah lama menderita sakit, kata keluarganya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Mendiang berjaya membimbing England mara ke separuh akhir Kejohanan Eropah pada 1996 sebelum tewas di tangan Jerman menerusi sepakan penalti.

"Kami benar-benar sedih dengan kehilangan suami dan bapa yang penyayang yang meninggal dunia dengan tenang semalam selepas lama sakit,” kata keluarga itu dalam satu kenyataan.

Ketika kemuncak kariernya bersama Tottenham Hotspur, Venables berjaya meraih kejuaraan Piala FA pada tahun 1990 selain menjadi pengurus kepada beberapa kelab seperti Crystal Palace, Leeds United dan Barcelona.

Bersama Barcelona, dia berjaya membawa pasukan berkenaan menjulang kejuaraan La Liga dan mara ke final Piala Eropah pada 1986.

Dikenali dengan nama 'El Tel dalam kalangan peminat Barcelona, mendiang juga merupakan individu yang bertanggungjawab membawa masuk beberapa bintang Inggeris seperti Gary Lineker dan Mark Hughes ke Nou Camp.

Gary Lineker turut berkongsi kesedihan dan penghormatan buat bekas pengurus tersebut di X.

"Seorang pengurus yang inovatif dan segala-galanya", tulis Lineker.

Venables memulakan karier bola sepaknya sebagai pemain di beberapa kelab Liga Inggeris seperti Chelsea, Tottenham Hotspur, Queens Park Rangers dan Crystal Palace sebelum bersara.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD