fb fb fb fb fb

BATC: Skuad badminton lelaki mara ke separuh akhir

SHAH ALAM, 17 Februari- Skuad lelaki negara berjaya menempah slot ke separuh akhir dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, selepas menumbangkan Kazakhstan 5-0 pada aksi kedua Kumpulan B petang tadi.

Kejayaan itu sekali gus memastikan Malaysia layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Thomas, di Bangkok, Thailand, Mei depan.

Aksi di Pusat Konvensyen Setia City itu menyaksikan mata pertama negara hadir melalui pemain perseorangan, Aidil Sholeh yang menundukkan Artur Niyazov straight set 21-11, 21-12.

Kecemerlangan kem negara diteruskan perseorangan kedua, Lim Chong King yang tenang menyumbang mata kedua dengan menewaskan Khaitmurat Kulmatov 21-11, 21-11.

Perseorangan ketiga,Kok Jing Hong kemudian menyumbang mata kemenangan hasil kejayaan 21-8, 21-4 ke atas Makhsut Tajibullayev.

Mata keempat negara hadir melalui pasangan beregu Man Wei Chong dan Tee Kai Wun yang mengalahkan Jangir Ibrayev dan Ilya Lysenko 21-5, 21-5.

Satu lagi beregu Goh Sze Fei dan Nur Izzudin melengkapkan kemenangan bersih Malaysia dengan mengatasi Andrey Shalagin dan Makhsut Tajibullayev 21-8, 21-4.

Malaysia bakal menentang Jepun dalam aksi terakhir kumpulan B petang esok.

Media Baharu