SHAH ALAM, 19 Januari -15 negara mengesahkan penyertaan di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2024 (BATC) yang akan berlangsung 13 hingga 18 Febuari depan di Shah Alam.
Exco Selangor, Mohd Najwan Halimi menyifatkan BATC kali ini mampu menarik minat lebih ramai pemain kerana menawarkan mata ranking bagi kelayakan ke sukan Olimpik Paris.
"15 negara telah memberikan komitmen bagi menyertai BATC.
"Antara yang bertanding ialah China, Jepun, Korea, Indonesia, India, Thailand Taipei. Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Myanmar, Brunei, Khazakstan, Singapura dan Malaysia. Jadi ini merupakan bukti bahawa kejohanan ini salah satu kejohanan berprestij", kata Najwan dalam Sidang Media Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2024 di sini pada Khamis
Tambah Najwan, BATC juga akan menjadi medan kelayakan merit bagi Piala Thomas dan Uber di Chengdu China, Mei depan kepada empat pasukan pilihan.
Antaranya China, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia.
Dalam perkembangan sama, BAM mengambil langkah selamat meletakkan sasaran ke separuh akhir untuk pasukan negara pada saingan BATC 2024
Setiausaha Agungnya, Datuk Kenny Goh berkata, sasaran itu dibuat memandangkan BATC kali ini menjadi medan kelayakan ke Piala Thomas dan Uber 2024.
Penting untuk pasukan negara berada dalam kelompok empat terbaik dahulu sebagai satu proses untuk layak secara merit ke dua temasya berkenaan.
Selain itu, BAM masih belum memuktamadkan senarai akhir pemain bagi kejohanan berprestij itu.
"Seperti yang saya katakan tadi, kami masih menunggu sebab kita masih ada sampai 26 Januari untuk membuat pendaftaran pemain.
"Jadi, mungkin Pengarah Kejurulatihan masih memerlukan masa untuk membuat keputusan muktamad", kata Kenny
Skuad lelaki negara merupakan juara bertahan selepas menundukkan Indonesia di pentas final pada edisi 2022.