KUALA LUMPUR, 29 Januari - Juara All England 2021, Lee Zii Jia yang berdepan krisis dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini, dipilih sebagai pemain perseorangan pertama negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 bulan depan.
BAM turut mengumumkan lima lagi pemain iaitu Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Jacky Kok Jing Hong akan melengkapkan barisan perseorangan negara untuk kejohanan dwitahunan itu, kata kenyataan itu.
Sementara itu, pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan mengetuai rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam kategori beregu lelaki.
Pasukan wanita pula terdiri daripada Eoon Qi Xuan, S. Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman, Myisha Mohd Khairul manakala acara beregu diwakili Pearly Tan-M Thinaah, Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.
BATC 2022 dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, Selangor dari 15 hingga 20 Februari depan.
Pada kejohanan itu, Malaysia dan sembilan pasukan lain, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, India, Thailand, Taiwan, Hong Kong, Kazakhstan dan Singapura akan bersaing untuk mengesahkan slot automatik ke pusingan final Piala Thomas dan Uber 2022 yang akan diadakan di Bangkok, Thailand pada Mei nanti.