ALOR SETAR, 25 April -Ketua Jurulatih Kedah Darulaman KDA FC Nafuzi Zain menjelaskan banyak aspek perlu diperbaiki oleh para pemainnya menjelang sepak mula Liga Super Malaysia Mei ini.
Reaksi tersebut hadir selepas tamat perlawanan persahabatan menentang Negeri Sembilan FC malam tadi (Rabu).
Jelas Nafuzi, kemenangan 2-0 mengatasi Skuad 'Hoben Jang Hoben' itu penting bagi mengukur kemampuan pasukannya, namun menyifatkan faktor keserasian antara pemain baharu dan lama memerlukan masa.
"Banyak pendedahan banyak aspek-aspek untuk saya tengok terutama dengan pemain-pemain baharu untuk menyesuaikan dengan sistem dan cara kita mungkin memerlukan sedikit masa.
"Tapi apapun dari semasa ke semasa kita nampak ada peningkatan", katanya yang ditemui selepas perlawanan berkenaan di sini.
Pada perlawanan persahabatan yang diadakan di Stadium Darulaman penyerang import KDA FC dari Serbia Milos Gordic telah dengan menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama dan kedua .
Selepas ini KDA FC akan melalui dua perlawanan persahabatan menentang Perak FC di Ipoh pada 27 April dan Penang FC di Alor Setar 30 April serta satu pasukan lagi ditentukan kemudian pada 4 Mei ini di Darulaman.