KUALA LUMPUR, 21 Januari - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah menghantar senarai panjang atlet skuad badminton negara kepada Majlis Sukan Negara (MSN) yang bakal menyertai temasya Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja yang dijadual pada Mei depan.
Pengarah kejurulatihan perseorangan BAM, Wong Choong Hann berkata senarai akhir atlet kebangsaan akan diketahui selepas beberapa kejohanan utama selesai pada akhir April ini.
"Sekarang ini beberapa kejohanan sedang berlangsung, dan kita masih lagi melihat pencapaian atlet di kejohanan tersebut.
"Kita juga sentiasa memberikan semangat kepada pemain dan selepas itu barulah kita akan membuat keputusan. Hanya calon yang terbaik akan tersenarai untuk kita ketengah ke Sukan Sea nanti," katanya selepas menghadiri mesyuarat dengan MSN di sini pada Jumaat.
Ditanya sama ada jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia akan menyertai skuad itu, Choong Han hanya menjawab: "Saya akan maklumkan anda (media) kemudian."
Sementara itu untuk Kejohanan Badminton Asia Championship, Dubai 2023, beliau menjelaskan hanya 16 pemain sahaja yang dibenarkan untuk beraksi di kejohanan yang membuka tirainya pada 25 hingga 30 April ini.
BAM kini menghantar gabungan pemain kebangsaan dan profesional untuk bertanding dalam dua kejohanan bagi acara berpasukan campuran.
Kejohanan itu ialah Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023 (BAMTC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dari 14 hingga 19 Februari ini diikuti Piala Sudirman di Suzhou, China dari 14 hingga 21 Mei depan.