(Pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia kecewa selepas tewas dengan
pemain Jepun Kodai Naraoka pada Kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia 2023
di Axiata Arena Bukit Jalil pada 11 Januari lalu/FOTO BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 21 Januari - Pengarah kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Han berpandangan pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia perlu bangkit semula bagi memastikan dia kekal berada di landasan tepat sebagai pemain profesional.
Choong Han berkata setakat ini beliau belum lagi berhubung dengan Zii Jia untuk mengetahui punca sebenar kemerosotan prestasi pemain itu di Terbuka Malaysia dan Terbuka India.
"Jii Zia masih lagi berada di landasan profesional masih ada masa untuk dia mencari rentak.
“Kita perlu beri kepercayaan terhadap apa jua keputusan Zii Jia,” kata Choong Han.
Katanya, masih terlalu awal untuk menilai prestasi pemain nombor dua dunia itu meski pun Zii Jia meninggalkan BAM setahun lepas.
Menurutnya, Zii Jia mungkin masih dalam proses memantapkan kedudukan sebagai pemain profesional negara dan masa akan menentukan keupayaan beliau.
Di kejohanan Terbuka India, pemain berusia 24 tahun itu menghuni ranking kedua dunia apabila gagal melepasi pusingan kedua manakala di Terbuka Malaysia dia tersingkir seawal pusingan pertama.
Zii Jia tewas kepada pemain meningkat naik Jepun, Kodai Naraoka, 21-13, 17-21, 19-21, dalam pusingan pertama Terbuka Malaysia minggu lepas dan kalah kepada Li Shi Feng dari China dalam pusingan kedua Terbuka India, 11-21, 21-14, 18-21, Khamis lepas.