fb fb fb fb fb

JDT rangkul Anugerah Khas SAM-100PLUS buat kali kedua

Foto Facebook Johor Southern Tiger

KUALA LUMPUR, 8 Julai-Dominasi luar biasa Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam arena bola sepak tanah air terus diiktiraf apabila kelab berpangkalan di selatan tanah air itu sekali lagi dipilih buat kali kedua sebagai penerima Anugerah Khas 100PLUS sempena Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2024).

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah SAM-100PLUS 2024 Hazreen Mubarak dalam kenyataan berkata pemilihan JDT sebagai Penerima Anugerah Khas dibuat berdasarkan impak signifikan kelab itu terhadap pembangunan dan imej bola sepak Malaysia.

“JDT bukan sahaja mencipta pencapaian atas padang, tetapi membentuk satu penanda aras profesionalisme kelab bola sepak di negara ini.

"Pencapaian di ACL Elite menjadi bukti bahawa kelab Malaysia mampu bersaing di pentas tertinggi Asia.

“Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan terhadap visi, kerja keras dan piawaian yang mereka bawa,” katanya.

Pengiktirafan itu diberikan susulan kejayaan JDT mencipta sejarah dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) Elite 2023/24, apabila menjadi kelab Malaysia pertama layak ke pusingan 16 terbaik, setelah menamatkan saingan peringkat kumpulan Zon Timur Asia di tangga ketiga.

Selain mengekalkan kejuaraan domestik melalui kejayaan mempertahankan Piala Sumbangsih dan Piala FA, skuad bimbingan Hector Bidoglio terus menunjukkan taring di peringkat serantau.

Ini merupakan kali kedua JDT menerima Anugerah Khas 100PLUS, selepas kali pertama pada edisi 2015, ketika mereka mencipta sejarah sebagai kelab Malaysia pertama menjuarai Piala AFC.

Pengiktirafan kali ini turut mencerminkan komitmen kelab terhadap pembangunan bola sepak profesional, termasuk aspek pengurusan, struktur pasukan, dan infrastruktur bertaraf dunia yang dibangunkan sejak awal penubuhan kelab.

Kelab Harimau Selatan itu terus menjadi simbol kebanggaan bola sepak Malaysia, mencabar norma dan membuktikan bahawa kelab tempatan berpotensi untuk bersaing di peringkat tertinggi Asia.

Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2024 dijadual berlangsung pada 14 Julai ini di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya, dan akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD