KUALA LUMPUR, 29 Julai - Kegagalan pemain perseorangan lelaki negara melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2025 di Solo, Indonesia tidak mengejutkan Pengarah Kejurulatihan Kenneth Jonassen.
Beliau berkata walaupun hasil mengecewakan, ia selari dengan jangkaannya sebelum kejohanan yang baru sahaja melabuhkan tirai di GOR Indoor Manahan Solo.
“Saya mungkin kecewa dengan prestasi beberapa individu yang saya rasa boleh dipersembahkan dengan lebih baik. Tetapi secara keseluruhan, jangkaan saya telah pun dipenuhi.
“Saya tahu tahap kita. Saya faham dan terima sepenuhnya bahawa kita mempunyai cita-cita yang jauh lebih besar berbanding yang telah kita tunjukkan kali ini,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan di sini hari ini.
Malaysia menamatkan kempen BAJC 2025 tanpa sebarang pingat, apabila kedua-dua acara perseorangan dan beregu gagal mencapai sasaran.
Prestasi kali ini kurang memberangsangkan berbanding pencapaian 2024, menyaksikan skuad remaja negara pulang dengan satu pingat perak dan tiga gangsa.
Jurulatih dari Denmark itu berkata beliau dan pasukannya telah mengenal pasti tiga aspek utama perlu diberikan tumpuan segera bagi menghadapi cabaran akan datang iaitu fizikal, displin taktikal dan ketahanan mental.
Meskipun beberapa pemain remaja kini menjalani latihan bersama pemain senior, Jonassen berkata ia bukan sesuatu yang mudah dan boleh memberikan hasil segera.
“Pembangunan tidak berlaku sekelip mata. Ia merupakan satu proses yang panjang,” katanya.- BERNAMA