BUKIT JALIL, 10 Januari - Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin melepasi halangan awal untuk mara ke pusingan kedua dalam perlawanan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024.
Beraksi di Axiata Arena, gandingan negara itu berdepan pasangan dari Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren.
Pertarungan berlangsung seimbang dengan kedua-dua beregu saling mengejar mata.
Namun, sokongan padu penyokong dilihat berjaya menaikkan semangat Sze Fei dan Izzuddin untuk menang set pertama 21-17.
Set kedua berlangsung lebih sengit apabila kedua-dua beregu terikat 20 sama.
Namun, Sze Fei dan Izzuddin tidak mensia-siakan peluang untuk mengutip 2 mata terakhir, sekali gus menang 22-20 untuk mara ke pusingan kedua.