BUKIT JALIL, 10 Januari - Perjalanan beregu wanita negara, Anna Cheong dan Teoh Mei Xing berakhir seawal pusingan pertama selepas tumpas kepada pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na dan Lee Soh Hee hari ini.
Biarpun cuba memberi tentangan, namun ia belum cukup untuk menjinakkan lawan yang menduduki ranking ke-2 dunia itu.
Beberapa kesilapan yang dilakukan memberi ruang untuk pasangan Korea Selatan itu terus menguasai perlawanan dan menang dengan keputusan 21-14, 21-13.
Nasib malang terus menimpa kem negara apabila pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong terpaksa menarik diri di set pertama.
Pemain di ranking ke-15 itu tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan pinggang.
Walaupun cuba meneruskan permainan, Tze Yong tidak dapat menahan kesakitan sekali gus memberi kemenangan kepada pemain Jepun, Koki Watanabe yang ketika itu mendahului 12-8.