fb fb fb fb fb

Badminton Terbuka Indonesia: Pasangan Wei Chong-Kai Wun selangkah bergelar juara

Foto Facebook BAM

JAKARTA, 9 Jun-Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun hanya selangkah lagi untuk bergelar juara apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir Terbuka Indonesia 2024.

Wei Chong dan Kai Wun meneruskan momentum cemerlang dengan menumpaskan pasangan tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Aksi set pertama berlangsung sengit sebelum pemain negara menang dengan keputusan 29-27.

Bersambung set kedua, Wei Chong dan Kai Wun berjaya mengawal permainan dengan baik untuk menutup perlawanan 21-13.

Gandingan di ranking ke-20 dunia itu akan berdepan pilihan kedua, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China pada aksi final hari ini.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing terkandas di separuh akhir.

Mereka tumpas kepada pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 16-21 dan 18-21.

Gandingan China itu dijadual bertemu beregu ranking pertama dunia yang juga rakan senegara, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong pada perlawanan akhir.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD