JEPUN, 15 November - Hasrat beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani, untuk mara ke saingan akhir Masters Kumamoto 2025 tidak kesampaian selepas terkandas di peringkat separuh akhir.
Pasangan yang berada di ranking keempat dunia itu berdepan cabaran sengit menentang gandingan tuan rumah, Hiroki Midorikawa–Kyohei Yamashita, sebelum tewas straight set 12-21, 17-21 dalam aksi 38 minit di Gimnasium Wilayah Kumamoto.
Dalam aksi tersebut, Sze Fei-Izzuddin bergelut untuk menyekat corak permainan agresif lawan pada set pertama, sekali gus memberikan kelebihan awal kepada lawan mereka.
Set kedua menyaksikan Sze Fei-Izzuddin cuba bangkit namun gagal untuk menyerap tekanan pada penghujung saingan.
Kekalahan ini sekali gus menutup peluang mereka mengumpul mata tambahan bagi mengukuhkan kedudukan menuju Pusingan Akhir Jelajah Dunia BWF di Hangzhou bulan depan.
Sementara, beregu nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sudah pun mengesahkan slot ke Hangzhou.