fb fb fb fb fb

Badminton Dunia 2025: Strategi dan latihan komprehensif perlu diberi penekanan

Kejohanan Badminton Dunia 2025 akan berlangsung dari 25 hingga 31 Ogos di Paris / Foto Badminton Supreme

KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Menjelang Kejohanan Badminton Dunia di Paris hujung Ogos ini, penganalisis sukan Norbakti Alias menegaskan beregu negara perlu diberi penekanan terhadap aspek kekuatan mental.

Jelasnya, pemain perlu bersedia menyerap tekanan, bangkit ketika ketinggalan, selain berupaya membaca permainan lawan dan menukar strategi ketika perlawanan.

“Selalu kita nampak kelemahan di sini. Pemain bermain secara sama sahaja tanpa perubahan rentak. Itu yang perlu diubah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menegaskan kawalan emosi dan ekspresi wajah penting bagi mengelak memberi isyarat kelemahan kepada pihak lawan.

“Jika wajah menunjukkan rasa kecewa atau marah kepada pasangan, ia bukan sahaja dilihat jelas di kaca televisyen malah memberi petanda kepada lawan bahawa ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Mengulas peluang di Paris, Norbakti optimis beregu lelaki mempunyai potensi lebih besar untuk menyerlah berbanding beregu wanita.

Menurutnya, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjadi sandaran utama selain dua lagi pasangan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King.

“Saingan beregu lelaki masih 50-50 kerana kekuatan kebanyakan lawan seimbang. Beregu wanita pula lebih sukar, peluang sekitar 30-70,” katanya.

Berdasarkan rekod, Pearly Tan-M. Thinaah masih bergelut menewaskan tiga pasangan ‘badi’ mereka iaitu Liu Sheng Shu-Tan Ning dan Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dari China serta Chiharu Shida-Nami Matsuyama dari Jepun yang bakal membuat penampilan terakhir sebelum berpecah.

"Kita lihat tiga pasangan yang menjadi badi pada mereka terutama dua pasangan China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning di mana rekod pertemuan pun berpihak kepada China iaitu 3-9 manakala lagi satu pasangan Jia Yi Fan dan Zhang Shu Xian di mana rekod pertemuan adalah 1 berbanding 4 dan satu lagi lebih ngeri pasangan Chiharu Shida dan Nami Matsuyama, beregu Jepun kita hanya menang 2 kali daripada 15 pertemuan." katanya.

Kejohanan Badminton Dunia 2025 akan berlangsung dari 25 hingga 31 Ogos di Paris.

HASRON BIN HASSAN