fb fb fb fb fb

Azroy kuasai perlumbaan pertama pusingan kedua MSBK 2022

(Pelumba Boon Siew Honda Racing Team, Azroy Hakeem Anuar ditemu bual Berita RTM selepas
memenangi perlumbaan pertama pusingan kedua Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) 2022)

SEPANG, 3 September - Pelumba Boon Siew Honda Racing Team, Azroy Hakeem Anuar mencipta impak segera dalam penampilan sulung beliau di kategori 1000 cc selepas menguasai perlumbaan pertama pusingan kedua Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Azroy berjaya mengenepikan nama besar lain termasuk Kasma Daniel Kasmayudin dan Azlan Shah Kamaruzaman yang menamatkan perlumbaan masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga.

Bermula di petak pertama, pelumba berusia 23 itu bagaimanapun dipintas Azlan Shah dan Zaqhwan Zaidi seawal selekoh pertama.

Azroy bagaimanapun kembali merampas kedudukan pendahulu pada pusingan kelima dan menamatkan perlumbaan 0.880 saat di depan Kasma Daniel.

"Saya tak jangka pun saya boleh habiskan perlumbaan di atas podium, menang pulak tu, saya ingat saya nak sekurang-kurangnya dalam kelompok mereka, berada dalam itu untuk pengalaman pertama tapi syukur Alhamdulillah, saya mempunyai kelajuan yang sangat bagus daripada mereka dan kalau boleh saya nak teruskan momentum ini dalam perlumbaan kedua dan ketiga," kata beliau selepas majlis penyampaian trofi perlumbaan pertama pusingan kedua MSBK 2022, di sini hari ini.


(Aksi pelumba Boon Siew Honda Racing Team, Azroy Hakeem Anuar pada perlumbaan pertama
pusingan kedua Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) 2022 di Litar Antarabangsa Sepang)   

Azroy sebelum ini bersaing dalam kategori 600cc pada pusingan pertama.

Perlumbaan kedua dan ketiga pusingan kedua akan berlangsung esok.

Dalam pada itu, pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar turut mencipta sensasi dalam penampilan pertama beliau di MSBK.

Pelumba Astra Honda Racing Team itu menampilkan tunggangan bertenaga untuk menguasai saingan 600 cc.

Tempat kedua dimenangi pelumba SIC Racing, Muhd Ibrahim Mohd Norrodin manakala Muhd Helmi Azman berpuas hati di kedudukan ketiga.

Media Baharu