fb fb fb fb fb

Agong berkenan tonton perlawanan akhir Piala Sultan Pahang 2022

(Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah Pemain Terbaik Perlawanan kepada pemain Pasir Pekan FC Mohd Badri Radzi pada perlawanan akhir Piala Sultan Pahang 2022)

KUANTAN, 3 September - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menonton perlawanan akhir Piala Sultan Pahang 2022 antara Semantan Troopers FC dan Pasir Pekan FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan, petang tadi.

Pada perlawanan julung kali itu menyaksikan pasukan Pasir Pekan FC dari Kelantan muncul juara selepas menewaskan Semantan Troopers FC 2-1.

Selepas tamat perlawanan, baginda kemudian berkenan menyampaikan hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 kepada Pasir Pekan FC bersama piala serta pingat.

Manakala, Semantan Troopers FC menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 selaku tempat kedua dan KRU FC dari Kuala Lumpur meraih tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta pingat.

Turut berangkat pada perlawanan itu, anakanda baginda Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

(Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memberi tepukan
‘high-five’ kepada kanak-kanak yang menyertai Kejohanan Bola Sepak Akar Umbi Bawah 12 Tahun sempena
Piala Sultan Pahang 2022 di Padang Sintetik Majlis Bandaraya Kuantan/ Foto BERNAMA) 

Selain itu, turut mengiringi baginda Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan exco kerajaan negeri.

Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah berkesempatan berangkat ke Karnival Bola Sepak Akar Umbi Bawah 12 Tahun yang diadakan sempena Piala Sultan Pahang 2022 di Padang Sintetik Majlis Bandaraya Kuantan.

Piala Sultan Pahang disertai lapan pasukan dengan empat daripadanya adalah dari Pahang iaitu Alam Mahkota, FC Jerantut, Semantan Troppers FC dan Yayasan Pahang Maintenance.

Manakala, empat pasukan lagi iaitu, Pasir Pekan FC dari Kelantan, Cyberjaya Teleflow dari Selangor, KRU FC (Kuala Lumpur) dan FC Kerteh (Terengganu).

Kejohanan dengan format kalah mati itu diadakan bagi memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang.

Media Baharu