fb fb fb fb fb

Azizulhasni pamer prestasi baik pada saingan Piala Presiden MNCF

(Azizulhasni menduduki tempat kedua acara keirin lelaki pada
saingan Piala Presiden MNCF)

NILAI, 8 Disember- Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang terus menampilkan perkembangan positif selepas menjalani pembedahan jantung pada April lalu.

Selepas beraksi di Liga Juara-Juara Trek UCI (TCL) baru-baru ini, Azizulhasni kali ini menyertai saingan Piala Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) I di sini, semalam.

Untuk rekod, ia merupakan penampilan pertama Azizulhasni beraksi di Malaysia selepas pembedahan jantung tersebut.

Pada saingan di Velodrom Nasional semalam, pelumba berusia 34 tahun itu mempamerkan kayuhan bertenaga bagi menduduki tempat kedua acara keirin lelaki, di belakang pelumba New Zealand, Samuel Daikin.

Beliau yang dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ mengakui berpuas hati dengan prestasinya setakat ini meskipun menyifatkan keletihan selepas pulang daripada kempen TCL antara faktor gagal meraih emas pada kejohanan ini.

Piala Presiden MNCF I merupakan kejohanan pertama kali dianjurkan oleh MNCF dalam usaha membantu pelumba negara mengumpul sebanyak mungkin mata untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Selain New Zealand, antara negara lain yang turut berentap di kejohanan tersebut adalah Hong Kong, Indonesia, Singapura dan Iran.

(Azizulhasni terus tampilkan perkembangan positif selepas jalani
pembedahan jantung pada April lalu)

Media Baharu