KUALA LUMPUR, 16 April- Tiga atlet berbasikal trek negara termasuk Datuk Mohd Azizulhasni Awang secara tidak rasmi layak ke Sukan Olimpik Paris, Julai ini.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF), Datuk Amarjit Singh Gill.
Dua lagi pelumba yang layak adalah Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Ia merupakan penampilan sulung di temasya terbesar dunia buat Nurul Izzah Izzati jika beliau berjaya memperoleh slot di Olimpik.
Jelas Amarjit, Nurul Izzah secara tidak rasmi layak berdasarkan mata selepas berentap pada Piala Negara-Negara Union Cycliste International (UCI) di Kanada dan UCI akan mengeluarkan ranking terbaru.
Tambahnya, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) akan menghantar senarai rasmi pada 22 April ini kepada semua Jawatankuasa OIimpik Kebangsaan (NOC).
Setakat ini, atlet terjun Bertrand Rhodict Lises, Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak) telah mengesahkan tempat di Paris.
Turut tersenarai Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya) dan Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat).