fb fb fb fb fb

Azizulhasni harap MSN tunai janji

(FOTO RTM)

KUALA LUMPUR, 8 Jun-Prospek emas Olimpik Paris 2024, Datuk Azizulhasni Awang meluahkan rasa kecewanya berkaitan jaminan bagi mendapatkan persediaan terbaik di Malaysia belum tertunai sehingga kini.

Jelasnya jaminan tersebut diberikan kepadanya sejak meninggalkan Melbourne hujung tahun lalu.

"Setahun lebih sebelum saya pulang, saya telah dipanggil oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN) yang berbincang dan memujuk akan perihal ini.

Menurut Azizulhasni perbincangan tersebut masih tiada jalan penyelesaian.

"Malangnya, daripada perjumpaan pertama kali dan beberapa siri perbincangan selepas itu serta setelah pulang ke tanah air sehingga sekarang, masih tidak ada penyelesaian.

"Perbincangan dan perjumpaan dengan wakil saya telah berlangsung lebih 10 kali dan jawapan yang diterima amat mengecewakan," luah Azizul menerusi Facebooknya.

Tambah Azizulhasni lagi, selaku prospek utama emas negara, dia memerlukan sistem sokongan yang efektif bagi melakukan latihan dengan tenang dan tanpa gangguan.

"Bagi saya amat mudah, kalau tidak dapat support system yang bagus, lebih baik saya pulang berlatih di Melbourne. Hanya tinggal setahun lebih sahaja sebelum Olimpik Paris 2024. Bukan tidak suka berada di Malaysia, akan tetapi untuk atlet bertaraf dunia seperti saya, berlatih di Melbourne (buat masa ini) adalah lebih efektif dan disana saya boleh berlatih dengan tenang tanpa gangguan pelbagai perkara terutamanya politik sukan seperti ini" katanya.

Dia turut mendedahkan keperitannya ketika menjalani persiapan seorang diri tanpa sokongan jurulatih sambil menggunakan wang sendiri.

"Saya menggunakan program latihan sendiri dan kadang-kala meminta bantuan jurulatih disana sekiranya saya memerlukan latihan spesifik menggunakan motorsikal (latihan kejar motor), semua ini tanpa menggunakan duit daripada pihak MSN pun

"Ramai juga yang sentiasa bertanya, anak-anak dan isteri ditanggung pihak MSN ke masa berlatih di Melbourne? Jawapannya tidak dan saya menggunakan duit sendiri (dari penajaan) untuk menanggung ahli keluarga saya sendiri. Saya tidak mempunyai masalah berkenaan itu kerana itu adalah tanggungjawab saya kepada keluarga," katanya.

Azizulhasni berharap isu ini dapat diselesaikan berikutan ia telah dibawa kepada Kementerian Belia dan Sukan dan Jawatankuasa Program 'Road to Gold'.


(Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang /FOTO RTM)

Media Baharu