fb fb fb fb fb

AUG 2022: Kontinjen negara terus berjuang, sasar pingat emas

UBON RATCHATHANI, 28 Julai - Sukan renang, olahraga, badminton dan karate antara sukan yang menawarkan pingat pada hari ketiga temasya Sukan Universiti Asean (AUG) ke-20 di Ubon Ratchathani, Thailand.

Skuad renang negara seharusnya memperbaiki pencapaian selepas dua hari kurang menyerlah dengan hanya dua pingat emas diperoleh.

Sukan renang yang berlangsung di Kampus Ban Yang Noi menawarkan 11 pingat dan seharusnya tiga pingat mampu dicapai oleh skuad negara dengan saingan sukan renang berbaki tiga hari lagi.

Sukan karate hari ini menawarkan lapan pingat emas bagi acara kumite dan skuad negara kini telah memiliki tiga pingat emas dengan berbaki satu pingat sebelum sasaran empat pingat yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tercapai.


(Skuad karate negara memburu satu lagi pingat emas bagi melengkapkan sasaran empat pingat 
emas di temasya Sukan Universiti Asean (AUG) ke-20)

Sukan olahraga turut menawarkan sembilan pingat emas dengan tumpuan pastinya terarah kepada acara lontar peluru dan cakera yang diwakili Sadat Marzuki dan Queenie Kung.

Kontinjen Malaysia ke AUG 2022 berdepan tugas mencabar bagi mengulangi pencapaian 37 pingat emas pada edisi empat tahun lepas.

Sebanyak 275 atlet universiti negara menyertai 19 daripada 23 jenis sukan pada temasya berkenaan kini turun dengan misi merealisasikan sasaran awal iaitu 35 pingat emas ditetapkan KPT.

Sasaran itu diletakkan berikutan beberapa atlet pernah beraksi di peringkat tertinggi selain mampu dijadikan prospek pingat emas terpaksa dilepaskan bagi memberi tumpuan kepada Sukan Komanwel Birmingham 2022 serta Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 di Melaka yang berlangsung serentak.

Media Baharu