fb fb fb fb fb

Atlet Rusia, Belarus dilarang sertai Sukan Paralimpik Musim Sejuk 2026

Foto REUTERS

GENEVA, 24 Oktober – Atlet dari Rusia dan Belarus tidak akan dibenarkan menyertai Sukan Paralimpik Musim Sejuk tahun hadapan, walaupun sebagai peserta neutral, menurut Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) pada Khamis.

Keputusan itu dibuat selepas IPC mengadakan perbincangan bersama persekutuan sukan antarabangsa berhubung penyertaan kedua-dua negara berkenaan.

Rusia dan Belarus sebelum ini digantung daripada menyertai kejohanan Paralimpik susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada tahun 2022.

Walau bagaimanapun, pada bulan lalu, organisasi ahli IPC mengundi untuk menarik balik penggantungan separa tersebut, sekali gus mengembalikan semula hak keahlian penuh kepada kedua-dua negara itu. Belarus turut dikenal pasti sebagai kawasan penting bagi operasi pencerobohan tersebut.

Bagaimanapun, IPC menjelaskan setiap persekutuan antarabangsa bagi sukan yang tersenarai dalam program Paralimpik bertanggungjawab menentukan laluan kelayakan dan kelayakan atlet masing-masing.

2410 SKN PARALYMPICS RUSSIA 2Foto REUTERS

Persekutuan Ski dan Luncur Salji Antarabangsa (FIS) pada Selasa memutuskan untuk tidak membenarkan atlet Rusia dan Belarus bertanding sebagai Atlet Individu Neutral (AIN) dalam acara kelayakan ke Sukan Olimpik Musim Sejuk dan Sukan Paralimpik Milano Cortina.

Sementara itu, Kesatuan Biathlon Antarabangsa (IBU) mengesahkan bahawa Persekutuan Biathlon Rusia dan Belarus kekal digantung daripada sebarang pertandingan, manakala Persekutuan Luncur Batu Dunia (World Curling) turut melanjutkan pengecualian terhadap atlet kedua-dua negara sehingga tamat musim 2024-25.

Dengan keputusan tersebut, kedua-dua negara berkenaan tidak layak untuk menyertai Sukan Paralimpik akan datang.

Rusia dan Belarus masih dibenarkan bertanding dalam kejohanan hoki ais Para, namun tidak tersenarai dalam pasukan yang akan beraksi pada kejohanan kelayakan bulan November ini.

Sukan Paralimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026 dijadual berlangsung dari 6 hingga 15 Mac depan. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN