KUALA LUMPUR, 14 Julai - Atlet memanah berkuda remaja negara, Muhammad Muhamad Akmal mencipta sejarah tersendiri apabila memecah rekod dunia dalam acara RAID234 pada Kejohanan Memanah Menunggang Kuda (IHAA) World Kids Championship 2025 di Bogor, Indonesia.
Lebih membanggakan, beliau berjaya memadam rekod bagi kategori junior dan mencatat rekod keseluruhan dengan kutipan 120.282 mata, menjadikannya pemanah terbaik dalam kalangan semua peserta merentas kategori umur.
Kejayaan tersebut diraih selepas beliau menampilkan tunggangan bertenaga dan konsisten sepanjang saingan yang berlangsung di Wening Academy, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam arena memanah berkuda dunia.
Turut mencuri tumpuan, Abu Bakr Muhamad Akmal yang meraih pingat emas dalam kategori RAID234, bawah 14 tahun serta perak dalam kategori individu keseluruhan.
Prestasi cemerlang itu menyerlahkan kesinambungan bakat dalam sukan yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
Pemanah wanita muda negara, Heba Nusaybah Ahmad Mu’az turut melakar kejayaan apabila dinobat sebagai juara keseluruhan wanita, selain memenangi emas dalam kategori RAID234 bawah 12 tahun.
Sementara itu, Abdurrahman Ahmad Mu’az tidak kurang hebat, apabila mengungguli acara Tabla/Skirmish dan Tower90 bagi kategori bawah 16 tahun.
Selain enam emas, kontinjen negara turut membawa pulang lima perak, menerusi Abu Bakr, Abdurrahman, Hazzil Hamidi dan Heba.
Kejayaan luar biasa pasukan negara tersebut memberi isyarat jelas bahawa sukan memanah berkuda tempatan, kini berada di landasan tepat untuk menyerlah di pentas dunia.