KUALA LUMPUR, 28 April- Atlet boling padang Nor Farah Ain Abdullah mengharumkan nama Malaysia dengan melakar sejarah tersendiri apabila memenangi pingat emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, semalam.
Kehebatan dan kesungguhan Farah Ain untuk meraih gelaran juara dunia terbukti apabila mencipta kemenangan bergaya 6-2, 6-3 ke atas Connie Rixon dari Malta pada final acara single wanita, demikian menurut hantaran Facebook Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (MLBF) hari ini.
Wakil Kanada Linda Ng dan Natalie McWilliams dari Scotland terpaksa berpuas hati berkongsi gangsa.
Farah Ain turut menyumbang pingat gangsa dalam acara berpasangan campuran bersama Izzat Shameer Dzulkeple selepas tewas 2-9, 3-11 kepada gandingan Australia Ray Pearse dan Samantha Atkinson di pentas separuh akhir.
Pencapaian atlet berusia 23 tahun itu mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
“Kami mempunyai juara dunia baharu, Nor Farah Ain Abdullah, melakarkan sejarah buat negara untuk muncul juara baharu Dunia Boling Padang Dalam Dewan. Majulah Sukan Untuk Negara!,” tulis beliau dalam hantaran Facebooknya.
Dalam pada itu, hasrat kem negara untuk menuai satu lagi emas tidak kesampaian selepas Izzat Shameer terpaksa akur meraih perak acara single lelaki selepas tewas 5-6, 3-9 kepada wakil tuan rumah Jason Greenslade dalam aksi final.
Gangsa bersama single lelaki dimenangi Harry Goodwin dari England dan Shannon Mcllroy dari New Zealand.
Pencapaian atlet negara itu membolehkan Malaysia muncul juara keseluruhan diikuti Australia dan Guerns
Sementara itu, Presiden MLBF Datuk Awalan Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan pencapaian itu sebagai bersejarah bagi skuad boling padang negara dan membuktikan pemain muda negara mempunyai potensi untuk menonjol di pentas dunia.
"Ia sememangnya detik yang sangat bermakna untuk sukan itu di negara ini. Ia adalah kerja keras dan usaha bersepadu yang mereka lakukan,”katanya.
Untuk rekod, pasukan negara mempamerkan kehebatan mereka dengan menggondol tiga emas, dua perak dan dua gangsa pada Kejohanan Asia ke-15 di Pattaya, Thailand dari 3 hingga 10 Mac lalu.- BERNAMA