KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli menemui semula sentuhan kemenangan selepas mendominasi perlumbaan pertama pusingan keempat Kejuaraan Asia Talent Cup (ATC) di Litar Antarabangsa Chang, Thailand semalam.
Pencapaian itu membolehkan Muhammad Hakim kembali menerajui senarai kedudukan pelumba dengan mengumpul keseluruhan 117 mata, mengatasi pencabar terdekat Shinya Ezawa dari Jepun (106 mata) di tempat kedua dan pelumba Qatar Hamad Al-Sahouti jauh di posisi ketiga dengan 73 mata.
Selepas menamatkan pusingan ketiga di tempat kedua di Jepun minggu lepas, pelumba berusia 15 tahun itu bangkit merampas kedudukan teratas podium semalam dengan merakam kepantasan 29 minit dan 01.585 saat, menurut https://www.asiatalentcup.com.
Tunggangan hebat pelumba kelahiran Terengganu dalam perlumbaan 16 pusingan itu cukup untuk menewaskan Veda Ega Pratama dari Indonesia di tempat kedua dengan masa 29:01.631s sementara wakil Jepun, Gun Mie terpaksa akur di kedudukan ketiga dengan masa 29:01.848s.
(Hakim Danish mendominasi perlumbaan pertama pusingan keempat
Kejuaraan Asia Talent Cup (ATC) di Litar Antarabangsa Chang, Thailand semalam/FOTO Facebook ATC
Dalam pada itu, tiga lagi pelumba Malaysia menyaksikan Farres Putra Mohammad Fadhill menamatkan saingan di tempat ketujuh (29:14.613s), Muhammad Farish Hafiy ke-12 (29:24.393s) dan Emil Idzhar Ezuan ke-19 (29:47.601s).
Sebagai rekod, Muhammad Hakim menjuarai kedua-dua perlumbaan pusingan kedua di Mandalika International Street Circuit, Indonesia Mac lepas selepas permulaan hambar pada pusingan pertama di Litar Antarabangsa Losail di Qatar pada Februari dengan gagal menaiki podium.
Beliau dan wakil Malaysia lain dijadual turun bersaing dalam perlumbaan kedua di Thailand, hari ini. - BERNAMA