CHARLOTTE, 18 Mei - Lima bulan selepas cedera tangan kanan ketika menyediakan hidangan makan malam Krismas, pemain nombor satu dunia Scottie Scheffler semakin menghampiri gelaran major ketiganya dalam Kejuaraan PGA pada Sabtu.
Pemain Amerika Syarikat (AS) berusia 28 tahun itu membenam tiga birdie dan satu eagle dalam lima lubang terakhir untuk merakam enam bawah par 65 pada pusingan ketiga pagi tadi di Quail Hollow untuk mendahului tiga pukulan menjelang pusingan akhir pagi esok.
Scheffler menang ketika mendahului selepas 54 lubang dalam semua kejohanan sebelum ini, gaya sama dilakukannya sebelum menjuarai Masters 2022 dan 2024.
Selepas menang sembilan kali pada tahun 2024, termasuk pingat emas Sukan Olimpik Paris, Scheffler bergelut musim ini sesudah terlepas bulan pertama kempen kerana kecederaan tangan.
Namun minggu lalu, Scheffler menang kejuaraan pertamanya tahun ini selain menyamakan catatan rekod terendah 72 lubang dalam Jelajah PGA.
Minggu ini, dia mungkin menambah satu lagi trofi major dan yang pertama hadir tanpa jaket hijau dari Augusta National.
"Ia pasti amat bermakna," kata Scheffler. "Kejohanan ini amat penting kepada kami dan anda bekerja sepanjang kehidupan untuk berpeluang memenangi kejohanan major.
"Esok saya berpeluang baik untuk keluar ke sana dan cuba menang tetapi ia memerlukan satu lagi pusingan yang benar-benar bagus.
"Seseorang perlu bertindak hebat dan ia terpulang kepada saya untuk keluar ke sana dan melakar catatan bagus sepusingan serta menamatkan kejohanan. Tidak sabar untuk berdepan cabaran ini."
Pemain Sweden, Alexander Noren berada di tangga kedua tiga pukulan di belakang Scheffler manakala dua pemain AS, David Riley dan JT Poston mengekori apabila berkongsi tangga ketiga dengan 206. – AFP