fb fb fb fb fb

Liga Juara: Aston Villa terus cemerlang, Emery tetap merendah diri

Pengurus Aston Villa, Unai Emery/Foto REUTERS

BIRMINGHAM, 23 Oktober- Tiga kemenangan dan tanpa bolos pada saingan Liga Juara pertamaoleh Aston Villa selepas 41 tahun meningkatkan momentum kelab dari Midlands berkenaan. Namun, pengurus pasukan berkenaan, Unai Emery tetap merendahkan diri dan menganggap perjalanan pasukan tersebut masih lagi jauh dalam pertandingan tersebut.

Pasukannya berjaya menewaskan Bologna 2-0 di Stadium Villa Park pada Selasa dengan dua jaringan di separuh masa kedua daripada John McGinn dan Jhon Duran.

Kemenangan itu menempatkan mereka di persada kumpulan, iaitu satu kedudukan yang mungkin tidak dijangka oleh para peminat apabila kejohanan elit Eropah bermula.

"Jika kita terus bermain dengan prestasi seperti ini dan mengumpul mata melaluinya, sudah tentu kita boleh mengubah objektif untuk berada di lapan pasukan teratas," kata Emery.

"Tetapi saya mahu ia berlaku secara semula jadi, dan bukan satu kejutan, kerana kami bermain dengan baik. Kami konsisten, mengumpul mata, dan selesa dengan persembahan kami", katanya.

Lapan pasukan teratas dalam fasa liga baharu yang melibatkan 36 pasukan akan layak secara automatik ke pusingan 16 terakhir. Manakala 16 pasukan berikutnya akan bertanding dalam perlawanan 'playoff' dua pusingan untuk menyertai mereka dalam peringkat kalah mati.

Villa merupakan satu-satunya pasukan dengan tiga kemenangan tanpa bolos setakat ini, dengan sembilan perlawanan lagi akan berlangsung pada Rabu.

Apabila ditanya sama ada beliau berasa puas dengan rekod tanpa bolos tersebut, Emery berkata, "Ya, tetapi yang paling utama untuk penjaga gol kami, Emiliano Martinez. Dia berusaha keras untuk mengekalkan perlawanan tanpa bolos.

"Tetapi sebenarnya, saya rasa ini adalah hasil daripada permainan yang serius, teratur dan disiplin dari segi taktikal",katanya.

Duran digantikan dengan Ollie Watkins sejurus selepas jaringannya pada minit ke-64.

Namun, pemain tersebut jelas kecewa dengan keputusan Emery.

Jurulatih dari Sepanyol itu berkata dia tiada masalah dengan tingkah laku pemain tersebut, malah memuji persembahan Duran malam itu sebagai terbaik.

"Sudah tentu, saya menguruskan segala-galanya, termasuk tindakan para pemain. Tetapi kami sentiasa menekankan di bilik persalinan untuk menghormati nilai-nilai kami serta bersikap matang dan bertanggungjawab", jelas Emery.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD