fb fb fb fb fb

Asian Le Mans Series: JMR sahkan penyertaan lebih besar

Foto Facebook Johor Racing

SEPANG, 7 Disember - Johor Motorsports Racing (JMR) mengesahkan penyertaan lebih besar bagi saingan Asian Le Mans Series (ALMS) 2025–2026 dengan menurunkan dua jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R serta barisan enam pemandu untuk enam pusingan perlumbaan musim ini.

Dua pasukan bertaraf antarabangsa akan mengemudi jentera JMR sepanjang musim, dengan kereta #99 dibarisi Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim (Tunku Jefri Ibrahim), pelumba Australia, Jordan Love dan pelumba Britain, Ben Green.

Dalam satu kenyataan, Tunku Abdul Rahman Al-Haj (Tunku Jefri Ibrahim) berkata beliau teruja untuk membuka lembaran baharu bersama JMR dalam cabaran ALMS.

“Saya tak sabar memulakan musim di Sepang dengan sokongan peminat tempatan. Sudah dua tahun saya tidak berlumba dalam ALMS dan kembali dengan dua kereta merupakan satu cabaran baharu.

"Persiapan kami berjalan baik dan saya mahu meneruskan momentum bersama Corvette sepanjang enam pusingan,” titah baginda.

Sementara itu, jentera #66 akan dipandu oleh Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, pelumba Corvette Factory Racing dari England, Alexander Sims serta pakar perlumbaan ketahanan Australia-Palestin, Yasser Shahim.

Tunku Abu Bakar Al-Haj pula menyatakan beliau bersedia menghadapi musim pertama dalam perlumbaan ketahanan.

“Saya bersyukur diberikan peluang ini. Banyak perkara perlu saya pelajari dan saya komited untuk memberikan yang terbaik buat pasukan pada setiap perlumbaan,” titah baginda.

Pembukaan musim di Litar Antarabangsa Sepang memberi kelebihan di laman sendiri kepada JMR, selepas kejayaan manis Tunku Jefri Ibrahim dan Sims meraih kemenangan dalam penampilan sulung bersama Corvette pada GT World Challenge sebelum ini.

Sokongan padu penyokong tempatan dijangka menjadi faktor penting, dengan 22 kereta beraksi dalam kelas GT dan 48 kereta keseluruhan merangkumi kelas LMP2 dan LMP3.

JMR kali terakhir menyertai ALMS pada musim 2023–2024, ketika Tunku Jefri Ibrahim, Love dan Luca Stolz menamatkan saingan di tempat kedua keseluruhan untuk kategori pasukan dan pemandu.

Tahun 2025 turut menjadi musim sibuk buat JMR apabila muncul naib juara Kejohanan GT World Challenge Asia, menaiki podium di Suzuka 1000 pada September, serta menamatkan perlumbaan 24 Hours of Spa pada Jun.

Saingan pembukaan hujung minggu depan menampilkan dua perlumbaan empat jam – Pusingan 1 pada 13 Disember (Sabtu) dan Pusingan 2 pada 14 Disember (Ahad), kedua-duanya bermula pukul 1.00 tengah hari. Musim ALMS akan berakhir di Timur Tengah dengan pusingan berturut-turut di Dubai Autodrome (31 Januari–1 Februari) dan Abu Dhabi (7–8 Februari).

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN