fb fb fb fb fb

Asher-Smith julang mahkota Eropah kelima

FOTO AFP

ROM, 10 Jun- Pelari pecut wanita Britain, Dina Asher-Smith bangkit daripada permulaan yang buruk untuk menikmati kemenangan meyakinkan apabila menjuarai acara 100m pada Ahad sekali gus muncul sebagai atlet Britain paling berjaya dalam sejarah di Kejohanan Eropah.

Pada acara akhir 100m wanita pada Ahad di Stadio Olimpico Rom, Asher-Smith menjulang pingat emas Eropah kelimanya.

Jika pasukannya berjaya memenangi 4x100m pada Rabu ini, dia akan memintas Roger Black dan Mo Farah, kedua-duanya juga mempunyai lima gelaran, dalam pungutan pingat GB sepanjang masa.

Pemain berusia 28 tahun itu memenangi emas 200m Eropah di Amsterdam pada 2016 diikuti emas 100m, 200m dan 4x100m di Berlin 2018.

Kini dia telah mencapai kegemilangan 100m di Rom, dengan kemungkinan lebih banyak kemenangan lagi akan datang, walaupun dia tidak bersaing dalam 200m minggu ini.

Bangkit daripada permulaan yang hambar, Asher-Smith berjaya mendominasi perlumbaan dengan penuh bergaya mencatat 10.99 saat sementara Ewa Swoboda dari Poland di kedudukan kedua untuk naib juara dengan catatan 11.03 saat.

Manakala Zaynab Dosso dari Itali melengkapkan podium dengan 11.03 saat. Rakan sepasukan Asher-Smith, Amy Hunt berada di tempat ketujuh.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE