LONDON, 28 Disember – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, memuji semangat dan mentaliti juang pasukannya selepas berjaya menewaskan Brighton 2-1 di Liga Perdana, walaupun dilanda krisis kecederaan menjelang perlawanan pada Sabtu.
Pasukan Arteta dikejutkan dengan kecederaan pertahanan Belanda, Jurrien Timber, ketika latihan pada Jumaat, diikuti oleh Riccardo Calafiori yang cedera sewaktu pemanasan sebelum perlawanan.
Selain, Ben White dan Cristhian Mosquera juga diketepikan, menyebabkan Myles Lewis-Skelly dimainkan di posisi kiri dan Declan Rice dipindahkan ke posisi kanan.
“Yang saya suka ialah kami menghadapi banyak isu dan dapat menanganinya dengan cara luar biasa,” kata Arteta.
“Declan terpaksa bermain di posisi kanan dan lihat prestasinya. Itu semangat sebenar dan menunjukkan betapa pemain mahu menang.”
Arsenal mengatasi cabaran kecederaan untuk meraih kemenangan ketiga berturut-turut dengan satu gol, sekaligus kembali menduduki tangga teratas liga, menggantikan Manchester City yang menang 2-1 ke atas Nottingham Forest beberapa jam lebih awal.
“Kami hanya boleh kawal apa yang kami lakukan, dan kami sedang buat banyak perkara baik. Kita perlu lebih baik untuk menang dengan margin lebih besar, dan perlunya pemain kembali untuk pastikan semua segar. Setiap tiga hari menjadi cabaran,” tambah Arteta.
Pada perlawanan itu, Martin Ødegaard membuka jaringan pertama Arsenal pada babak pertama sebelum Georginio Rutter menjaringkan own goal untuk menggandakan kelebihan.
Brighton merapatkan kedudukan melalui Diego Gomez pada minit ke-64, namun David Raya membuat penyelamatan penting untuk mengekalkan kemenangan.
“Amat gembira dengan prestasi. Kami sangat dominan, secara individu dan kolektif. Margin kemenangan sepatutnya lebih besar, tetapi itulah Liga Perdana. Kami terpaksa bersabar sedikit,” ujar Arteta.
Arsenal kini bersedia untuk menghadapi perlawanan penting menentang pesaing gelaran Aston Villa di Emirates Stadium pada Selasa ini.- AFP