(Anwar pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 di Dewan Banquet Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil/FOTO Facebook MSN)
KUALA LUMPUR, 31 Januari - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar atlet negara untuk merangkul kilauan emas sekurang-kurangnya satu pingat emas pada temasya yang akan berlangsung di Paris tahun hadapan.
Anwar berkata beliau meletak kepercayaan penuh kepada semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), persatuan dan badan sukan serta atlet dalam merealisasikan impian itu.
"Saya mahu sekurang-kurangnya kita kena capai satu pingat emas pada Sukan Olimpik akan datang.
"Kita cuba, usaha, serta ikhtiar sebaik mungkin cuba sedaya upaya… tiada tolak ansur tetapi kita harus terima kenyataan, dalam apa-apa persaingan kita harus terima baik keputusan yang adil dan bijaksana," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 di Dewan Banquet Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini hari ini.
(Anwar pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 di Dewan Banquet Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil/FOTO Facebook MSN)
Temasya Olimpik Tokyo 2020 menyaksikan atlet negara membawa pulang satu perak, satu gangsa menerusi jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan pasangan beregu badminton, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Pencapaian terbaik negara setakat ini ialah semasa temasya Sukan Olimpik Rio 2016 dengan catatan empat perak dan satu gangsa.
Majlis berprestij itu turut dihadiri Menteri dan Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh dan Adam Adli Abd. Halim, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selaku Presiden Majlis Olimpik Malaysia serta kepimpinan persatuan dan badan sukan negara.
Berita Berkaitan:
Konsep Malaysia Madani perlu diamal dalam sukan - PM