KUALA LUMPUR, 18 Mac- Johor Motorsports Racing (JMR) mengumumkan Alton sebagai penaja terbaharu pasukan itu bagi musim perlumbaan 2025.
Pengumuman tersebut menandakan permulaan kerjasama menarik bagi memperkukuh misi mencapai kecemerlangan dalam sukan permotoran.
Majlis menandatangani perjanjian berlangsung semasa ujian pramusim di Litar Antarabangsa Sepang, sekali gus membuktikan komitmen Alton terhadap inovasi dan industri berprestasi tinggi berkenaan.
Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim yang juga presiden dan pemandu utama pasukan JMR menerusi kenyataan bertitah, penyertaan Alton sebagai rakan sepasukan bagi musim akan datang dilihat sebagai satu langkah ke hadapan yang menarik.
"Komitmen mereka terhadap inovasi dan pelaburan di Johor Bahru selari dengan visi kami untuk membangunkan bakat tempatan dan mengangkat sukan permotoran Malaysia ke tahap lebih tinggi.
"Kami yakin kerjasama ini akan membawa kejayaan di dalam dan di luar litar, dan kami tidak sabar untuk mencapai kejayaan baharu bersama," titah Tunku Abdul Rahman.
Sementara itu Naib Presiden Eksekutif Alton untuk Jualan dan Pemasaran Global, serta Pengurus Besar untuk Amerika Michael Roach berkata perkongsian ini mencerminkan komitmen syarikat terhadap rantau Malaysia.
"Alton bangga dan teruja untuk menjadi sebahagian daripada musim baharu ini bersama JMR Kami mencari rakan kongsi yang cemerlang
dalam bidang mereka dan sedang merintis tanah baru.
"Dengan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pengeluaran global baharu kami di Johor Bahru dibuka bulan ini, ia mencerminkan kami komitmen kepada rantau ini. Kami berbesar hati untuk menaja pasukan JMR untuk musim 2025 dan melihat kemajuan bersama lebih cemerlang pada tahun mendatang," katanya.
Alton merupakan sebuah syarikat global alatan pengguna dan komersial, perkakas elektrik dan penjagaan lantai, kini melebarkan operasinya ke Malaysia dengan pembukaan kemudahan pembuatan serta R&D baharu di Johor Bahru.
Kerjasama itu mencerminkan dedikasi Alton untuk memajukan inovasi, prestasi dan pembangunan bakat di rantau ini selain dijadualkan beroperasi akhir tahun ini.