MADRID, 20 Disember - Ketua Jurulatih Real Madrid, Xabi Alonso kekal optimis menjelang tahun 2026 meskipun berdepan spekulasi mengenai masa depannya bersama kelab itu.
Real Madrid ketika ini berada di tangga kedua LaLiga, ketinggalan empat mata di belakang pendahulu Barcelona, manakala di pentas Liga Juara-Juara UEFA, kelab itu menghuni kedudukan ketujuh.
"Penilaian sebenar dibuat pada penghujung musim. Sekarang kita masih di pertengahan jalan dan terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan," kata Alonso.
Manurut Alonso, sasaran yang diletakkan kepada pasukan amat mencabar, namun perjalanan musim ini masih panjang dan bakal menyaksikan detik manis serta tempoh sukar.
"Seperti yang anda katakan, pertama sekali kita perlu menang dan kemudian bermain sebaik mungkin. Penilaian hanya dibuat pada akhir musim. Kita masih di separuh perjalanan dan selain itu, bukan tugas saya untuk memberi markah kepada diri sendiri," katanya.
Mengulas mengenai keadaan pasukan, Alonso berkata skuadnya masih bersemangat tinggi walaupun berdepan jadual perlawanan yang padat.
"Kami bersemangat dan menamatkan tahun ini dengan baik. Tempoh terakhir ini sangat mencabar apabila kami telah mengharungi sembilan perlawanan berturut-turut. Kami mahu menutup tahun ini dengan keputusan positif supaya dapat berehat dengan lebih tenang dan memulakan 2026 dengan kekuatan, keazaman serta semangat untuk terus mara," katanya.
Alonso turut menegaskan hubungan erat antara beliau dan pihak pengurusan kelab sejak awal perbincangan lagi, berasaskan kepercayaan dan saling menghormati.
"Sejak perbualan awal bersama kelab, hubungan kami dibina atas dasar kepercayaan, hormat dan keakraban. Kami sedar projek ini menuntut sasaran yang sangat tinggi, namun perjalanan ini panjang dan pasti ada masa baik serta kurang baik.
"Kini kami hampir ke perlawanan terakhir tahun ini dan mahu menamatkannya dengan baik sebelum memulakan tahun baharu dengan penuh semangat," katanya.
Mengulas prestasi Vinicius Junior, Alonso berkata pemain itu hampir menemui sentuhan jaringan dan beliau yakin kejayaan akan tiba dalam masa terdekat.
"Kami sentiasa berbincang dan bekerja bersama Vini. Ini soal perlawanan dan masa. Dia sudah sangat hampir untuk menjaringkan gol dan saya tidak ragu dia akan mencapainya, diharapkan secepat mungkin," katanya.
Sementara itu, Alonso turut memuji sumbangan Rodrygo dalam dua perlawanan terakhir yang disifatkan memberi keseimbangan kepada pasukan.
"Ia berita baik melihat apa yang dibawa Rodrygo dalam dua perlawanan ini. Prestasinya, keseimbangan yang diberikannya ketika menguasai bola, kemampuannya bermain di ruang sempit dan menghubungkan permainan amat penting. Kami mahu lebih konsisten dalam mencari dan memanfaatkannya dalam permainan," katanya.- REUTERS